Kathavarayan: Tiada Peranan Lain Pada Hari Kejadian Bunuh Didakwa Berlaku

Diterbitkan: Rabu, 30 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu berkata selain menangkap pemandu jutawan kosmetik berkenaan, dia tidak mempunyai peranan lain pada hari kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

R.Kathavarayan, 33, berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Datuk Akhtar Tahir selepas prosiding pemeriksaan semula oleh peguamnya Hasshahari Johari Mawi selesai.

"Apakah peranan kamu dalam keseluruhan episod pada 30 dan 21 Ogos 2010," soal Akhtar.

"Peranan saya yang pertama saya telah tangkap driver itu, kedua saya ada di tempat kejadian dan tahu apa telah berlaku dan ketiga saya juga berada bersama N.Pathmanabhan (tertuduh pertama) ketika dia buang telefon bimbit," jawab Kathavarayan.

"Saya ingin tahu apa lagi peranan awak di ladang selepas tangkap driver," soal Akhtar sekali lagi.

"Saya tidak lakukan apa-apa kerja lain dan tiada peranan lain tetapi saya ada di ladang," jawab tertuduh keempat.

Kathavarayan diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 44, T.Thilaiyalagan, 22, dan R.Matan, 23, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika disoal Hasshahari mengapa dia tidak bersetuju dengan cadangan peguam Manjeet Singh Dhillon sebelum ini bahawa dia adalah seorang yang licik, Kathavarayan berkata dia memberi keterangan untuk menceritakan perkara yang berlaku kerana dia berada di ladang dan nampak apa yang berlaku.

"Kamu juga beritahu mahkamah sebelum ini mengenai kedatangan kakak kamu ke ladang pada 30 Ogos 2010 dan kamu bercakap bohong kerana disuruh oleh peguam yang mewakili kamu sebelum ini (Ravi Nekoo). Kenapa perkara ini berlaku?," soal Hasshahari.

"Pembantu rumah (saksi pendakwaan Siti Hamidah Karnax) beritahu ada seorang perempuan telah datang ke ladang dan sebab itu Pathmanabhan dan adik lelakinya serta peguam Ravi suruh saya beritahu kakak saya yang datang ke ladang. Mereka suruh saya kata begitu kerana saya boleh menang dalam kes ini, jika tidak Yang Arif akan percaya pada keterangan Siti Hamidah," kata Kathavarayan.

"Kamu juga dicadangkan kamu tidak lapor kepada pihak polis kerana tiada kejadian di ladang dan kamu tidak setuju. Mengapa kamu tidak beritahu polis ketika itu?," soal Hasshahari.

"Pada April 2010, saya pernah hubungi polis melalui telefon awam dan buat aduan ada terdengar bunyi di ladang, tidak sampai 30 minit selepas itu Pathmanabhan call (telefon) dan suruh saya ke ladang untuk lihat apa berlaku kerana dia terima call daripada polis menyatakan ada aduan.

"Saya tidak beritahu polis kerana selepas saya call buat aduan tiada tindakan diambil oleh polis dan kerana Pathmanabhan mempunyai ramai rakan anggota polis jadi saya tidak buat laporan polis," kata Kathavarayan.

"Kamu juga ditanya mengenai RM30,000 yang diberikan oleh Pathmanabhan pada kamu dan kamu kata ia untuk kerja pembinaan. Berapa lagi bajet yang tinggal untuk awak buat pembinaan itu?," soal Hasshahari.

"Projek itu belum lagi mula dibina, jika telah dimulakan mahu mencapai RM50,000," kata tertuduh keempat.

Dalam keterangannya sebelum ini, Kathavarayan menafikan dia menerima RM30,000 daripada Pathmanabhan sebagai upah bagi 'kerja-kerja' dilakukan pada malam kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

Hakim Akhtar menetapkan 29 April ini untuk hujahan di akhir kes pembelaan dan menetapkan 21 Mei ini untuk keputusan.

Perbicaraan bersambung pada 12 Mac ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan