Kenyataan Isu Krisis Politik Perak Tidak Berbaur Hasutan - Karpal

Diterbitkan: Jumaat, 25 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Karpal Singh memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa kata-kata yang digunakannya dalam sidang media di pejabatnya, hampir empat tahun lepas, bukan pernyataan berbaur hasutan seperti dinyatakan dalam pertuduhan.

Peguam veteran itu berkata kesemua perkataan yang digunakannya dalam sidang media pada 6 Februari, 2009, berkaitan krisis politik di Perak tidak berada dalam lingkungan peruntukan yang dinyatakan dalam Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.

"Terdapat lebih banyak lagi kenyataan menghasut diucapkan semasa persidangan Parlimen dan dalam bentuk tulisan tetapi mereka yang terbabit tidak pernah didakwa dengan tuduhan sama yang saya hadapi sekarang," katanya.

Merujuk kepada beberapa halaman buku bertajuk 'Ampun Tuanku', hasil tulisan bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim mengenai perkara sama (krisis politik di Perak), Karpal berhujah bahawa ianya lebih berunsur hasutan terhadap Sultan Perak.

Ditanya peguam bela, Gobind Singh Deo, yang juga anaknya, sama ada dia tetap berpegang kepada kenyataannya pada sidang media tersebut, Karpal berkata dia tidak pernah berundur daripada apa sahaja komen yang dibuatnya.

"Biar saya ulangi, saya tidak berniat mempersoalkan hak mutlak Sultan Perak tetapi sekadar menyatakan hakikat bahawa Sultan sepatutnya membenarkan Dewan Undangan Negeri sendiri menangani perkara itu terlebih dahulu," katanya.

Pada 11 Jun 2010, Karpal dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi daripada tuduhan mengeluarkan kata berbaur hasutan terhadap Sultan Perak di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, pada 6 Februari 2009.

Pihak pendakwaan bagaimanapun berjaya dalam rayuan dan Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, kemudian diperintah membela diri.

Karpal, 73, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pemecatan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir oleh Sultan Perak sebagai pengganti, boleh dipertikai di mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 15 Mac ini. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan