Pathamanabhan Akan Gantung Diri Kalau Timbul Masalah, Kata Kathavarayan

Diterbitkan: Rabu, 23 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu pada Selasa mendakwa tertuduh pertama, N.Pathmanabhan memberitahunya supaya tidak bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu kerana jika timbul masalah bekas peguam itu akan menggantung dirinya.

R.Kathavarayan, 33, berkata, Pathmanabhan juga meminta supaya dia (Kathavarayan), tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan, tertuduh ketiga R.Matan dan seorang lagi pekerja ladang, U.Suresh berlakon baik seolah-olah kejadian itu tidak berlaku.

Suresh, 29, dan seorang lagi pekerja ladang, K.Sarawanan, 22, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, kerana kesalahan melupuskan bukti berkaitan kes pembunuhan itu.

Menceritakan mengenai perbincangan pada 3 Sept 2010 di dalam kereta jenis BMW milik Pathmanabhan, Kathavarayan berkata, bekas peguam itu bertanyakan sama ada dia (Kathavarayan) ada bercerita kepada sesiapa mengenai kejadian bunuh yang dikatakan berlaku pada 30 Ogos 2010 itu.

"Dia (Pathmanabhan) beritahu tolong jangan beritahu apa-apa pada sesiapapun, jika berlaku apa-apa atau ada apa-apa masalah dia (Pathmanabhan) akan gantung diri," katanya.

Kathavarayan diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 44, Thilaiyalagan, 22, dan Matan, 23, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seterusnya, Kathavarayan berkata, pada 4 September 2010, Pathmanabhan memberitahu bahawa dia (Kathavarayan), Thilaiyalagan, Matan dan Suresh akan ditangkap polis dan perkara itu menyebabkan mereka berasa takut.

"Pada mulanya Pathmanabhan suruh kami beritahu bahawa tidak berlakunya kejadian (pembunuhan) ini...tiada kejadian berlaku di ladang. Andai kata salah seorang antara kami mengaku dengan polis dia (Pathmanabhan) pohon jangan tunjukkan tempat-tempat ini dengan tepat seperti tempat dipukul. Kemudian kami tanya kenapa perlu berbuat demikian dan Pathmanabhan beritahu jika ditunjukkan tempat yang tepat akan memudahkan polis untuk mendapatkan DNA.

"Pathmanabhan berkata jika tidak beritahu dengan tepat pada polis kebiasaannya statement (kenyataan) yang diambil buat kali pertama hakim tidak akan terima sebagai keterangan dalam mahkamah dan kita boleh beritahu statement diambil dengan cara memukul. Oleh demikian statement pun akan ada masalah dan kita boleh keluar dengan mudah," katanya ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini.

Tertuduh keempat berkata, mereka kemudian bertanyakan kepada Pathmanabhan sama ada mereka boleh keluar dari ladang sebelum ditangkap polis dan tertuduh pertama menjawab polis sudah tentu mengetahui siapa yang tinggal di ladang dan jika mereka melarikan diri, polis boleh membuktikan kes itu.

"Pathmanabhan berkata jika kita tinggal di ladang paling kurangpun polis hanya boleh buat tahanan reman sahaja dan jika boleh tahan sebulan serta tidak bercakap apa-apa pada polis, selepas tempoh reman tamat kami semua boleh keluar," katanya.

"Adakah awak yakin dengan kata-kata Pathmanabhan," soal Ishak.

"Ya, saya yakin," kata Kathavarayan.

"Sebab dia seorang peguam yang bergelar Datuk?," soal Ishak.

"Ya, sebab dia seorang peguam, bukan sebab dia 'Datuk' tetapi sebab dia mempunyai ramai kenalan dan rakan-rakan yang merupakan anggota polis," jawab tertuduh keempat.

Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Kathavarayan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menerima ugutan daripada seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh petang Isnin.

Hasshahari memaklumkan perkara itu kepada Hakim Datuk Akhtar Tahir sebelum peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan menyambung soal balasnya ke atas tertuduh keempat itu.

"Saya dimaklumkan oleh anak guam saya bahawa dia menerima ugutan semalam (Isnin) dan telah memaklumkan kepada pegawai penjara. Ada seorang tahanan menghampiri dia dan maklumkan tentang keterangan dia di mahkamah sebelum ini.

"Pagi ini di lokap mahkamah pun ada...berlaku kekecohan tentang keterangan (tertuduh) tetapi saya tidak dapat maklumat lanjut lagi (mengenai kejadian di lokap mahkamah). Pohon mahkamah benarkan anak guam saya membuat laporan polis," katanya.

Akhtar berkata, perkara itu perlu dibawa untuk perhatian pihak penjara dan beliau mahu pihak berkenaan menyiasat dakwaan tertuduh serta mengambil tindakan yang perlu.

Beliau juga membenarkan tertuduh keempat membuat laporan polis ketika prosiding mahkamah ditangguhkan.

"Tolong ingatkan tertuduh keempat dia perlu memberi keterangan di mahkamah tanpa rasa takut...dia tidak akan diapa-apakan. Dia juga tidak boleh mencari masalah dengan orang lain," katanya.

Perbicaraan bersambung pada Rabu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan