3 Pengarah Dan Seorang Bekas Pengarah Skim Pelaburan Emas Genneva Diperintah Bela Diri

Diterbitkan: Rabu, 23 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan tiga pengarah dan seorang bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan jongkong emas membela diri terhadap 224 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan menerima deposit tanpa lesen melibatkan urus niaga bernilai lebih RM100 juta.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusuff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tiga pengarah syarikat Genneva Sdn Bhd iaitu Ng Poh Weng, 63, Marcus Yee Yuen Seng, 61, Chin Wai Leong, 37, dan bekas pengarahnya Liew Chee Wah, 59.

Mahkamah menetapkan 15 Mac ini mendengar kes pembelaan. Kesemua tertuduh akan memberi keterangan secara bersumpah.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Ng, didakwa terhadap 93 pertuduhan manakala Yee menghadapi 40 pertuduhan sementara Chin 61 pertuduhan dan Liew pula 30 pertuduhan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Berhad Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di sini, antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta.

Keempat-empat tertuduh juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesan yang sah mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM10 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama, di sini, antara November 2008 dan Julai 2009.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa manakala peguam Datuk Hanif Hashim mewakili kesemua tertuduh. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan