Kes Bunuh Sosilawati: Kathavarayan Nafi Mohon Program Perlindungan Saksi Kerana Wang

Diterbitkan: Selasa, 22 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Isnin, menafikan dia memohon diletakkan di bawah program perlindungan saksi kerana ingin mendapatkan bantuan kewangan.

R. Kathavarayan, 32, ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga R.Matan, juga menafikan cadangan peguam itu bahawa dia berbuat demikian selepas tidak berjaya mendapatkan wang daripada tertuduh pertama N.Pathmanabhan.

Sebaliknya tertuduh keempat itu berkata dia memohon untuk berada di bawah program itu kerana bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anaknya.

Amer Hamzah: Saya katakan kamu membuat dakwaan itu (takutkan keselamatan keluarga) kerana kamu nak letakkan diri kamu dan keluarga bawah program perlindungan saksi.

Kathavarayan: Ya.

Amer Hamzah: Kamu tahu atau tidak unit perlindungan saksi terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kathavarayan: Tidak tahu.

Amer Hamzah: Saya katakan, sebab itulah sejak 14 Jan lepas, ada pegawai dari JPM yang memerhatikan kes ini kerana kamu sudah memohon untuk program perlindungan saksi.

Kathavarayan: Tidak.

Amer Hamzah: Kamu tahu atau tidak, di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009, keluarga kamu boleh diberikan bantuan kewangan?

Kathavarayan: Tidak tahu.

Amer Hamzah: Saya katakan pada kamu, selepas kamu tidak berjaya dapatkan wang daripada Pathmanabhan kamu memutuskan untuk memohon program perlindungan saksi untuk dapatkan bantuan kewangan dan lain-lain.

Kathavarayan: Tidak.

Kathavarayan diperintah membela diri bersama-sama Pathmanabhan, 43, T. Thilaiyalagan, 21, dan Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kepada soalan lain Amer Hamzah, Kathavarayan menafikan bahawa dia pernah memberitahu seorang tahanan di Penjara Sungai Buloh bahawa dia akan mengenakan Pathmanabhan, Thilaiyalagan dan Matan.

Tertuduh juga menafikan bahawa dia ada berbincang dengan tahanan itu mengenai kes yang sedang dihadapinya.

Terdahulu, ketika disoal balas peguam Gurbachan Singh yang mewakili Thilaiyalagan, Kathavarayan tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa dia ada memberitahu Thilaiyalagan mengenai permintaan Pathmanabhan supaya keluarganya (Kathavarayan) berpindah keluar dari banglo milik tertuduh pertama itu.

Tertuduh keempat itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Gurbachan Singh bahawa dia telah meminta pertolongan Thilaiyalagan untuk memberitahu Pathmanabhan supaya tidak meminta keluarganya berpindah keluar dari banglo itu.

Gurbachan Singh: Bila kamu buat permintaan, Thilaiyalagan cakap dia tidak mahu campur dalam hal ini dan bila dia tidak mahu campur kamu sangat marah padanya.

Kathavarayan: Tidak setuju.

Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, kamu telah beri keterangan yang tidak memihak kepada Thilaiyalagan dan tertuduh lain untuk selamatkan diri kamu sendiri.

Kathavarayan: Tidak setuju.

Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, kamu beri keterangan yang tidak memihak kepada Thilaiyalagan kerana kamu berdendam dengan dia kerana tidak menolong kamu untuk bercakap dengan Pathmanabhan.

Kathavarayan: Tidak.

Gurbachan Singh: Saya cadangkan kepada kamu, pada 14 November 2012 ketika Pathmanabhan minta keluarga kamu berpindah dari rumah dia dan ketika kamu minta RM100,000 daripada Pathmanabhan, Thilaiyalagan ada mendengar perbualan itu.

Kathavarayan: Tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada Selasa. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Kolumnis

iklan

Iklan