PKFZ: Dr Ling Tarik Balik Representasi Pohon Kaji Kos Pembelian Tanah

Diterbitkan: Isnin, 21 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa dalam kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), pada Isnin menarik balik representasi untuk menimbang semula pertuduhan berhubung kos pembelian tanah.

Peguam Wong Kian Kheong, yang mewakili Dr Ling, berbuat demikian bagi membolehkan perbicaraan bersambung selepas beberapa kali tertangguh ekoran dua representasi yang dikemukakannya.

Representasi yang ditarik balik itu bertarikh 21 November tahun lepas berkaitan kos pembelian tanah dan pengiraan kadar sasaran aliran tunai diskaun (DCF).

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah bagaimanapun memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan kerana pihaknya masih perlu meneliti satu lagi representasi bagi tujuan yang sama (timbang semula pertuduhan).

Representasi bertarikh 9 Oktober tahun lepas itu dikemukakan selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan akauntan Mok Chew Yin memberi keterangan di peringkat pembelaan.

"Jika peguam mahu pihak kami kaji representasi, adil bagi kami untuk mendapat masa secukupnya. Kami perlu kaji secara efektif dan menyeluruh dengan seadil-adilnya," katanya.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi membenarkan permohonan Tun Abdul Majid dan menetapkan 18 Februari untuk menyambung perbicaraan.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp (sekaki persegi) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling yang menjadi menteri pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Dr Ling dipanggil membela diri pada 9 Mac lalu dan empat saksi telahpun memberi keterangan termasuk Dr Mahathir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan