Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Untuk Ketepikan Dua Tuduhan Perhimpunan Bersih 3.0

Diterbitkan: Jumaat, 18 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan dua daripada tiga pertuduhan yang dihadapinya di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April tahun lepas.

Permohonan Ketua Pembangkang itu ditolak selepas Hakim Kamardin Hashim memutuskan bahawa Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) akta berkenaan tidak melanggar mahupun bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, katanya, seksyen-seksyen tersebut bukan batal dan tidak sah seperti yang dihujah oleh pemohon (Anwar).

"Mahkamah ini mengambil pengiktirafan kehakiman bahawa dengan mempunyai atau membenarkan protes jalanan, ia akan melanggar hak-hak dan kebebasan orang lain di bawah Seksyen 3 akta itu, yang termasuk hak kepada kebebasan bergerak dan hak untuk menjalankan urusan perniagaan," katanya.

Kamardin berkata mahkamah melihat larangan yang dikenakan oleh Parlimen adalah munasabah memandangkan ia adalah untuk melindungi kepentingan keselamatan negara dan mengekalkan ketenteraman awam.

Beliau menegaskan Parlimen dalam menggubal peruntukan yang dipersoalkan iaitu mengharamkan protes jalanan adalah dalam lingkungan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Fasal 2(b) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Kamardin berkata larangan protes jalanan sebagai satu bentuk perhimpunan aman tanpa senjata adalah wajar dalam sesebuah masyarakat demokratik bagi perlindungan moral, hak-hak dan kebebasan orang lain.

"Malah pengalaman sivik telah menunjukkan bahawa hak-hak tidak boleh mutlak kerana ia perlu mengimbangi antara satu sama lain. Proses pengimbangan terhadap satu sama lain melibatkan keperluan, meletakkan had kepada sejauh mana hak-hak ini dinikmati," tegas beliau.

Pada 28 Mei tahun lepas, Anwar telah memfailkan permohonan itu bagi merujuk persoalan perundangan berhubung satu daripada tiga perutuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 terhadapnya.

Pada 22 Mei tahun lepas, Anwar, 64, dan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali, 48, serta Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin, 34, didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara.

Ketiga-tiga pemimpin PKR itu merupakan kumpulan individu pertama didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua iaitu bersubahat menghasut Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim untuk membuka halangan besi di Jalan Raja di sini pada hari sama.

Pada 2 Julai, tahun lepas, ketiga-tiga mereka didakwa dengan pertuduhan ketiga iaitu bersubahat dengan Tangam, Rajesh dan Farhan dan lima penyokong 'Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengingkari perintah Mahkamah Majistret yang dikeluarkan pada 26 April 2012 yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei tahun lepas.

Peguam Anwar, Karpal Singh memberitahu pemberita kemudian bahawa beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada Isnin ini dan juga penggantungan permohonan untuk semua prosiding di Mahkamah Seksyen sementara menunggu keputusan rayuan.

Semasa prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan