Isteri Datuk Shamsubahrin Akui Miliki 6 Buah Kereta

Diterbitkan: Jumaat, 18 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Isteri kepada ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa dia memiliki enam buah kereta termasuk tiga buah kereta baharu yang didaftarkan atas namanya.

Suzana Abdul Aziz, 45, berkata dia memiliki tiga buah kereta iaitu Perodua Kenari, Naza dan Mercedes yang dibeli sebelum Disember 2011 dan tiga buah kereta lagi dibeli selepas tarikh tersebut.

Katanya lagi, suaminya pula mempunyai dua buah kereta model sama, iaitu Suzuki Swift.

Menurut Suzana, dia menerima elaun bulanan antara RM10,000 hingga RM15,000 selaku pengarah syarikat Awana Travel dan Tours (M) Sdn Bhd.

Suzana berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa, semasa perbicaraan kes Shamsubahrin.

Bagaimanapun, Suzana bersetuju dengan soalan Abdul Razak bahawa dia tidak memerlukan tiga kereta baharu tersebut memandangkan dirinya hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Shamsubahrin menghadapi 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti penggubahan wang haram membabitkan wang sejumlah RM1.755 juta dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Dia, yang diwakili peguam Afifuddin Hafifi, turut berdepan lima pertuduhan menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.75 juta.

Ketika menjawab soalan Abdul Razak, Suzana memberitahu suaminya telah memasukkan wang berjumlah RM500,000 ke dalam akaunnya sebanyak tiga kali antara bulan November dan Disember 2011.

"Suami saya telah memasukkan RM50,000, RM200,000 dan RM250,000 melalui tiga keping cek pada 25 November, 6 Disember dan 9 Disember,"katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas Suzana, dia hanya mengetahui mengenai kemasukan wang tersebut selepas diberitahu oleh suaminya tetapi tidak mengetahui secara terperinci mengenai wang tersebut kerana suaminya sangat sibuk dan tidak ada masa untuk bercakap mengenai perkara itu.

Berdasarkan penyata bank yang dikemukakan, Suzana mengakui bahawa dia telah melakukan transaksi pengeluaran wang sebanyak 40 kali bermula 25 November hingga 6 Disember.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozilah Salleh bersambung semula pada 5 dan 6 Februari depan.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan