Tertuduh 'Serang' Pathmanabhan Kerana Dendam Kesumat - Peguam

Diterbitkan: Khamis, 17 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Tertuduh keempat dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis dikatakan mengubah keterangannya di mahkamah dan 'menyerang' N.Pathmanabhan kerana menyimpan dendam kesumat terhadap bekas peguam itu.

Peguam Manjeet Singh Dhillon ketika menyoal balas R.Kathavarayan mencadangkan bahawa tertuduh menyalahkan Pathmanabhan kerana anak guamnya itu telah meminta isteri dan anak-anak Kathavarayan berpindah keluar dari banglo miliknya (Pathmanabhan) yang terletak di Sepang.

Saksi keempat pembelaan itu bagaimanapun berkata dia telah meminta isterinya untuk berpindah keluar dari rumah itu kira-kira enam bulan lepas.

Ketika Manjeet Singh mencadangkan kepada Kathavarayan bahawa pada pertengahan November tahun lepas Pathmanabhan ada memberitahu bahawa dia mahukan banglo itu semula kerana keluarganya terpaksa berpindah keluar dari rumah, tertuduh keempat menjawab, Pathmanabhan tidak berkata begitu.

Kathavarayan juga tidak bersetuju dengan cadangan Manjeet Singh bahawa dia menggunakan tertuduh kedua, T.Thilaiyalagan untuk cuba memujuk Pathmanabhan supaya tidak menyuruh keluarganya berpindah keluar dari banglo itu.

"Saya katakan isteri kamu masih duduk di rumah banglo itu hari ini dengan anak-anak kamu," soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab: "Saya tidak tahu kerana saya tidak hubungi dia (isteri)."

"Saya mencadangkan kepada kamu bahawa kamu telah meminta wang daripada Pathmanabhan untuk membeli sebuah rumah supaya keluarga kamu boleh berpindah ke situ," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "tidak".

"Pathmanabhan menolak permintaan kamu. Kamu kemudian mengugutnya yang kamu akan mengenakannya di mahkamah," cadang Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

"Saya katakan kamu ubah cerita kamu (di mahkamah) kerana dendam disebabkan peristiwa di penjara di antara kamu dan Pathmanabhan dan kerana Thilaiyalagan tidak mahu bantu kamu," kata Manjeet Singh dan tertuduh menjawab tidak.

"Saya katakan kepada kamu yang kamu seorang pemutar belit, kamu seorang yang boleh mengubah keadaan untuk faedah diri sendiri," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

Kathavarayan diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, dan R.Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kathavarayan seterusnya disoal Manjeet Singh mengenai laporan polis yang dibuat pada 3 Disember tahun lepas dan dia berkata laporan polis itu dibuat kerana dia bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anaknya.

"Siapa yang kamu takutkan? Siapa yang kamu fikir akan mencederakan keluarga kamu," soal Manjeet Singh dan tertuduh menjawab "Pathmanabhan".

"Kamu bimbangkan keselamatan mereka dan hari ini mereka tinggal di rumah Pathmanabhan. Laporan kamu mengarut, satu laporan yang sengaja direka," kata Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "tidak".

Pada satu ketika Kathavarayan kelihatan lemah dan tidak selesa ketika diasak dengan pelbagai soalan oleh Manjeet Singh, dan apabila ditanya sama ada dia ingin berehat, tertuduh menjawab dia ingin meneruskan keterangan.

Keadaan itu menyebabkan Manjeet Singh menempelak tertuduh dengan berkata: "Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu seorang tukang karut. Kamu hendak raih simpati daripada mahkamah, kamu buat-buat sakit untuk dapatkan simpati."

"Saya sedang mendapatkan rawatan," jawab Kathavarayan.

Manjeet Singh kemudian mencadangkan kepada tertuduh bahawa kakaknya ada datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.

Dalam keterangan sebelum ini, kakak Kathavarayan dan keluarganya dinyatakan datang ke ladang pada 30 Ogos 2010.

"Tidak, bohong. Ini diajar oleh peguam yang mewakili saya sebelum ini," kata tertuduh.

"Siapa peguam kamu," soal Manjeet Singh dan Kathavarayan menjawab "Ravi Nekoo." Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan