Pekerja Kontrak Tidak Mengaku Salah Cederakan Isteri

Diterbitkan: Selasa, 15 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Seorang pekerja kontrak, Kamaruddin Hassan tidak mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini pada Selasa atas tuduhan mencederakan isterinya yang masih dalam keadaan pantang di Kampung Repoh Seberang Sungai dekat sini pada awal pagi 5 Januari lalu.

Tertuduh, 41, yang diwakili Rabiatul Adawiyah Ramli mohon dibicarakan.

Pekerja kontrak itu dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Anira Aziz, 27, menggunakan bingkai gambar, bahagian belakang pisau dan lesung batu kira-kira pukul 4 pagi, hari tersebut di sebuah rumah tidak bernombor.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Inspektor Amir Irwan Yaakob.

Majistret Zuhair Rosli yang sebelum itu mendengar rayuan tertuduh memerintahkan lelaki itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan