Sarjan Polis Hadapi Tiga Tuduhan Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 4 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan pada JUmaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM3,000.

Md Hamdari Wakidi, 53, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dituduh meminta dan memperoleh rasuah itu sebagai dorongan untuk menutup satu kes pencabulan kehormatan melibatkan pengusaha restoran yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang tunai RM3,000 daripada Zulkefli Mohamad di biliknya di pejabat JSJ, IPD Ipoh, pada 10.30 pagi, antara 26 dan 29 September 2011.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM1,500 daripada Zulkefli di kaki lima Restoran Tasneem Corner, Fair Park di sini, pada 6.30 petang, 18 November 2011.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM1,500 daripada individu yang sama di dalam restoran yang sama, 6.46 petang, 18 Mei 2012.

Bagi pertuduhan pertama Md Hamdari didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala pertuduhan kedua dan ketiga mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 18 Februari depan bagi sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Pertuduhan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa SPRM M. Kathan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan