Mahkamah Benarkan Bantahan Awal Pendakwaan Bagi Permohonan Anwar Berhubung Larangan Berhimpun

Diterbitkan: Jumaat, 4 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membenarkan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perintah larangan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April dan 1 Mei lepas untuk menggugurkan dua daripada empat pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Mahmud Abdullah dalam penghakimannya, berkata Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak ataupun mengkaji sebarang perintah majistret ataupun untuk mengisytiharkannya sebagai tidak sah.

Katanya, permohonan seperti ini tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Tinggi untuk menyemak semula rekod majistret dalam memutuskan sama ada perintah majistret tersebut adalah sah ataupun tidak.

"Dengan ini, mahkamah membenarkan bantahan awal pihak responden (pendakwaan) dan menolak permohonan pemohon (Anwar) atas alasan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa," kata hakim itu.

Beliau menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes, sementara Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung dua permohonan Anwar yang lain untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya dan isu perundangan.

Pada 7 November lepas, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berkata permohonan Anwar adalah permohonan jenayah dan Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepi atau membatalkan perintah yang dikeluarkan mahkamah lebih rendah (Majistret).

Sementara itu, pada 21 November lepas, peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah bahawa bantahan awal pendakwaan adalah bersifat pramatang, dan merit permohonan Anwar harus didengar terlebih dahulu tanpa bantahan.

Pada 28 Mei lepas, Anwar memfailkan bantahan terhadap perintah yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir, yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April dan 1 Mei 2012.

Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan perintah yang dikeluarkan adalah tidak betul dan tidak sah.

Pada 22 Mei lepas, Anwar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali, 48, dan Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin, 34, didakwa mengambil bahagian dalam protes jalanan yang mencetuskan huru-hara di ibu negara.

Mereka turut berdepan pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim, dengan menghasut mereka membuka sekatan besi di Jalan Raja, di sini, pada hari yang sama.

Mereka merupakan kumpulan pertama didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000.

Pada 2 Julai lepas, mereka didakwa dengan pertuduhan ketiga iaitu bersubahat dengan Tangam, Rajesh dan Farhan bersama penyokong 'Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0)' yang melebihi lima orang untuk menentang perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April, yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei lepas. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan