Gobalakrishnan Diberi Kebenaran Merayu

Diterbitkan: Khamis, 3 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan diberi kebenaran mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung sabitan dan denda RM5,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret ke atasnya kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis pada 2009.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Abdul Malik Ishak sebulat suara memberi kebenaran kepada Gobalakrishan untuk merayu di Mahkamah Rayuan.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azahar Mohamed dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zawawi Salleh.

Merit rayuan kes itu hanya boleh didengar oleh Mahkamah Rayuan jika Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Gobalakrishnan untuk berbuat demikian memandangkan perkara itu berasal dari mahkamah majistret.

Pada 27 Julai tahun lepas, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam menjatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan selepas mendapati Gobalakrishnan bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Sub-Inspektor M.Karunamurthi.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu untuk menghalang Karunamurthi daripada menjalankan tugasnya di hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Bukit Mertajam semasa pilihan raya kecil Permatang Pasir pada 11 pagi 17 Ogos, 2009.

Pada 27 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengetepikan rayuan Gobalakrishnan dan mengekalkan keputusan mahkamah majistret.

Gobalakrishnan, 52, berkata beliau telahpun mengarahkan peguamnya untuk memfailkan notis rayuan dan sijil perakuan segera bagi rayuan itu didengar secepat mungkin.

"Jika saya layak bertanding, saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Serai," katanya.

Gobalakrishnan ialah seorang anggota Parlimen bebas. Beliau sebelum ini menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi keluar daripada parti itu pada Januari 2011.

Gobalakrishnan diwakili oleh peguam M.Athimulan, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Saiful Ambar Abdullah Ambar dan S.Vijayaretnam. Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Tengku Ismail menjalankan pendakwaan.

Saiful Ambar berkata notis rayuan akan difailkan dalam tempoh 14 hari mulai Khamis.

Sementara itu, Athimulan memberitahu pemberita bahawa beberapa persoalan perundangan akan dikemukakan dalam rayuan itu dan antaranya termasuk sama ada Mahkamah Tinggi sepatutnya memerintahkan siasatan seterusnya atau mengarahkan supaya diadakan perbicaraan semula mengikut Seksyen 316 Kanun Tatacara Jenayah dan bukannya mengembalikan semula perkara itu kepada mahkamah majistret untuk Gobalakrishnan membela diri.

Gobalakrishnan pada mulanya dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah majistret pada 8 Jun 2011, tanpa dipanggil membela diri selepas mahkamah memutuskan bahawa tiada kes prima facie terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 29 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan rayuan pendakwaan dan meremit kes itu semula ke mahkamah majistret untuk Gobalakrishnan membela diri.

Beliau kemudiannya disabitkan kesalahan dan didenda RM5,000.

Mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, seseorang anggota Parlien akan hilang kelayakan jika dia disabitkan atas sesuatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara tidak kurang dari tempoh setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan