Dua Leftenan Kolonel Dibenar Pinda Penyata Tuntutan

Diterbitkan: Khamis, 3 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu membenarkan dua leftenan kolonel meminda penyata tuntutan mereka dalam saman fitnah yang difailkan terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin.

Panel hakim yang dianggotai hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali, Datuk Mohtarudin Baki dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk David Wong Dak Wah sebulat suara membenarkan Leftenan Kolonel Abdul Aziz Buyong dan Leftenan Kolonel Norhayati Hassan untuk mengemuka rayuan bagi mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang tidak membenarkan mereka membuat pindaan terhadap penyata tuntutan.

Hakim Ramly memerintahkan mereka memfailkan penyata tuntutan dalam tempoh 14 hari mulai hari ini dan membenarkan Raja Petra memfailkan penyataan tuntutan pindaannya dalam tempoh 14 hari mulai tarikh beliau menerima penyata tuntutan yang dipinda.

Pada 2008, Abdul Aziz dan Norhayati memfailkan saman terhadap Raja Petra dengan mendakwa penulis blog itu membuat perisytiharan berkanun yang mengaitkan mereka dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam pembunuhan wanita Mongolia bernama Altantuya Shaariibuu.

Mereka mendakwa perisytiharan yang dibuat Raja Petra pada 18 Jun, 2008 itu berunsur fitnah.

Mereka masing-masing menuntut ganti rugi RM1 juta dan ganti rugi teladan daripada Raja Petra serta memohon mendapatkan injuksi untuk menyekat penulis blog itu atau pekerjanya daripada mengulangi kenyataan berunsur memfitnah itu.

Pada 18 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk meminda penyata tuntutan berkenaan.

Abdul Aziz dan Norhayati memohon untuk membuat pindaan terhadap penyata tuntutan mereka dengan memasukkan beberapa fakta baharu.

Mahkamah Tinggi menetapkan tiga hari mulai 21 Januari untuk mendengar saman mereka.

Abdul Aziz dan Norhayati diwakili peguam Sugandra Rao Naidu, manakala Raja Petra diwakili peguam J.Chandra. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan