Bekas ASP Bebas Tuduhan Merompak - Berita Mahkamah | mStar

Bekas ASP Bebas Tuduhan Merompak

Diterbitkan: Rabu, 2 Januari 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) pada Rabu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan merompak dua lelaki, tiga tahun lepas.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Che Anua Che Omar, 57, di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata pihak pendakwaan tidak pernah mengemukakan resit pengeluaran wang daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) oleh saksi pendakwaan pertama iaitu Ahmad Shabri Mohd Halami.

"Selain itu tiada keterangan yang menunjukkan wang tunai serta barang kemas saksi pendakwaan pertama dirompak oleh tertuduh, wang tunai tersebut adalah kepunyaan saksi pendakwaan kedua, Kamal Ariffin Hashim yang dikeluarkan oleh Ahmad Shabri dari bank," katanya.

Che Anua bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang menyebabkan kerugian RM10,000 terhadap Ahmad Shabri dan Kamal Ariffin di No 44-3, Blok B, Rampai Court, Wangsa Maju, di sini, pada pukul 9 malam, 5 Mei 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad manakala Che Anua diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan