Lapan Lelaki Indonesia Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Tuduhan Rompak Anak Kapal

Diterbitkan: Isnin, 24 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA TINGGI: Lapan lelaki rakyat Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan senjata berbahaya terhadap anak kapal tangki, MT Merlion Dua, di perairan Malaysia, dua minggu lepas.

Kesemua mereka yang dikenali sebagai Dane, 23; Hasbullah, 35; Ricky, 37; Trim, 36; Jais, 46; Arjadi, 32; Amie, 37; dan Zul, 34, bersama dua lagi yang masih bebas itu didakwa melakukan rompakan tersebut di kedudukan kira-kira 3.2 batu nautika dari perairan Tanjung Stapa, Pengerang, di sini, kira-kira pukul 2.30 pagi, 11 Disember lepas.

Pertuduhan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan sebelum Majistret, Nor Shahid Abd Malik menetapkan Jumaat ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Juanita Mohd Said dan kesemua lelaki berkenaan tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan