Mahkamah Putuskan Esok Sama Ada Perbicaraan Husam Saman Blogger Diteruskan

Diterbitkan: Selasa, 18 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini, Selasa menetapkan esok untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan perbicaraan kes saman fitnah RM5 juta oleh Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa terhadap penulis blog Kickdefella berhubung penyiaran artikel didakwa berunsur fitnah.

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu di dalam kamar selepas peguam mewakili Husam dan responden dalam kes berkenaan menyatakan hasrat mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah.

Peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata beliau dan peguam yang mewakili plaintif, Hisham Fauzi akan berbincang berhubung penyelesaian kes itu.

"Jika kedua-dua pihak bersetuju, kita akan selesaikannya di luar mahkamah. Jika penyelesaian di luar mahkamah gagal, perbicaraan akan diteruskan," katanya kepada pemberita.

Pada 19 September tahun lalu, Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi bagi menuntut ganti rugi RM5 juta ekoran penyiaran tiga artikel yang didakwa berunsur fitnah terhadap beliau yang disiarkan melalui blog defendan di kickdefella.wordpress.com antara Januari hingga Julai tahun lalu.

Defendan pada 9 Oktober tahun yang sama memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun pada 17 April lalu, Hakim Besar Malaya mengarahkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Baharu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menarik diri daripada mengendalikan kes berkenaan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan