Tiada Bukti Untuk Tuduh Sesiapa Bunuh Kugan - Khalid Abu Bakar

Diterbitkan: Isnin, 17 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi tiada bukti untuk mendakwa sesiapapun membunuh A.Kugan, yang dijumpai mati di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Jan 2009.

Khalid, 55, yang kini Timbalan Ketua Polis Negara, berkata sejak peringkat awal, pihaknya hanya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam R.Sivarasa, yang mewakili ibu Kugan, N.Indra, yang memfailkan saman kecuaian berhubung kes itu, Khalid bersetuju pada awalnya Pejabat Peguam Negara meminta polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan membunuh.

Namun, berdasarkan keputusan laporan bedah siasat pertama oleh Hospital Serdang, pihak Pejabat Peguam Negara bersetuju siasatan kes dikekalkan mengikut Seksyen 330.

Khalid juga memaklumkan beliau tidak membuat sebarang sidang akhbar berhubung kes itu dan hanya memberi respons kepada beberapa pemberita yang menghubunginya berhubung status siasatan dan keputusan bedah siasat seperti dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya (Allahyarham) ACP Zainal Rashid Abu Bakar.

"Sebaik sahaja hasil keputusan bedah siasat memaklumkan 'paru-paru berair' sebagai punca kematian, saya telah arahkan ACP Zainal untuk menyerahkan mayat mendiang Kugan kepada keluarganya," kata Khalid.

Beliau berkata arahan juga dikeluarkan supaya 14 anggota dan pegawai Balai Polis Taipan yang terlibat secara langsung dalam soal siasat dipindahkan serta-merta ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor sementara siasatan menyeluruh berhubung kes itu dilakukan.

Ditanya mengapa tidak memaklumkan keputusan bedah siasat kedua oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya atas permintaan keluarga Kugan kepada media, Khalid berkata beliau bersandarkan kepada laporan yang disediakan pakar bedah siasat Dr Abd Karim Tajudin, bertarikh 21 Jan 2009.

"Tiada peruntukan undang-undang untuk bedah siasat kali kedua, lagipun mayat Kugan berada bersama keluarganya untuk satu tempoh yang panjang, dan kemungkinan sesuatu boleh dilakukan terhadap mayat berkenaan," katanya.

Menjawab soalan peguam R.Ramesh, yang mewakili V.Navindran, Khalid tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa defendan kedua itu telah dijadikan 'kambing hitam' untuk menyelesaikan kes tersebut.

"Dakwaan itu tidak benar dan dia dituduh setelah kertas siasatan dirujuk kepada pejabat peguam. Lagipun semua pegawai dan anggota yang terlibat dengan soal siasat Kugan telah disiasat di bawah Seksyen 330," katanya.

Menjawab soalan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T.Singham, Khalid berkata OCPD (ACP Zainal Rashid) dan Ketua Polis Balai Taipan adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan Kugan sepanjang tempoh tahanan dari 15 hingga 20 Jan 2009.

Kepada soalan Singham mengapa polis tidak mempertimbangkan satu inkues apabila timbul isu dua laporan bedah siasat, Khalid berkata pada masa itu, beliau berpegang kepada keputusan bedah siasat pertama.

Pada 11 Jun lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Navindran selepas mendapati bekas konstabel polis itu bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan, seorang suspek kes curi kereta mewah, di sebuah bilik soal siasat di Balai Polis Taipan pada 16 Jan 2009.

Pada 13 Jan lalu, Indra, 44, selaku pentadbir harta pusaka Kugan, memfailkan saman dan menamakan Khalid (ketika itu Ketua Polis Selangor), Navindran, ACP Zainal Rashid, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Indra mendakwa semua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya ketika dalam tahanan polis. Kugan ketika itu berusia 23 tahun. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan