Peniaga Kuih Dipenjara Empat Tahun, Rompak Doktor Dan Petugas Klinik

Diterbitkan: Selasa, 4 Disember 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dua peniaga kuih masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa selepas mereka mengaku bersalah merompak tiga orang, termasuk seorang doktor, di sebuah klinik menggunakan dua bilah parang bulan lepas.

Hakim Yasmin Abdul Razak memerintahkan Ahmad Eskandar Abu Kasim, dari Kuang, dan Mazalan Kamaruddin, dari Ulu Yam, menjalani hukuman itu mulai tarikh tangkapan iaitu 27 November.

Ahmad Eskandar, 42, dan Mazalan, 46, dituduh secara bersama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata terhadap Dr Rozaida Ashaari, 45, dan dua petugas di kliniknya iaitu Zubaida Mat Aroff, 41, dan Seri Najwa Jasri, 18, dengan merompak barangan seperti telefon bimbit, kad kredit dan wang tunai lebih RM400 milik mangsa, di sebuah klinik di Bandar Baru Sungai Buloh.

Sementara itu seorang lagi tertuduh, Mohd Nizwan Awalludin, 38, dari Ulu Yam, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama. Hakim Yasmin membenarkan Mohd Nizwan diikat jamin RM7,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 15 Jan untuk sebutan semula.

Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir menjalankan pendakwaan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan