Kes Saman Fitnah Penyelaras BN Batu Kawan Selesai Di Luar Mahkamah - Berita Mahkamah | mStar

Kes Saman Fitnah Penyelaras BN Batu Kawan Selesai Di Luar Mahkamah

Diterbitkan: Isnin, 26 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kes saman fitnah oleh Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Batu Kawan A. Mohan terhadap dua pembantu peribadi kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy, iaitu M.Satees dan M.Amal Dass diselesaikan di luar mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi GV. Varghese hari ini merekodkan penyelesaian itu selepas Mohan, Satees dan Amal Dass bersetuju berbuat demikian (bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah).

Dalam terma penyelesaian yang diedarkan oleh defendan, Satees dan Amal Dass mengaku telah mengeluarkan kenyataan mengenai Mohan di dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada 3 Sept 2011 di Pusat Khidmat Ramasamy di Taman Supreme, di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua defendan menyatakan tidak pernah berniat untuk memperkecilkan atau memfitnah Mohan dalam apa jua cara, dan mereka memohon maaf sekiranya telah membuat plaintif tersinggung.

Mohan diwakili peguam bela Baljit Singh dan V.Amareson manakala Satees dan Amal Dass diwakili peguam S.Murali. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan