Lelaki Didakwa Tipu Tujuh Individu Tawaran Kerja Di Luar Negara

Diterbitkan: Jumaat, 23 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penasihat jualan pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tujuh pertuduhan menipu lima lelaki dan dua wanita berhubung urusan mendapatkan pekerjaan sebagai pemetik buah di luar negara, dua bulan lepas.

Koh Kah Seng, 23, didakwa memperdayakan ahli perniagaan T. Madivanan, 27, untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan pekerjaan buatnya sebagai pemetik buah di Australia dan menipu Madivanan supaya menyerahkan wang tunai RM5,085 kepadanya.

Koh turut didakwa melakukan kesalahan yang sama terhadap empat lagi mangsa bagi tujuan sama yang melibatkan RM16,300.

Mereka ialah penuntut, Thomas Balachandran, 23, dan tiga penganggur iaitu Andrea Gayle Pereira, 23, Roslan Hashim, 50, dan C.Dale Aaron Nair, 36.

Dia turut didakwa terhadap dua lagi pertuduhan iaitu memperdayakan tukang masak Khong Kok Aun, 57, dan penganggur Christina Lim Yee Wei, 32, untuk mendapatkan pekerjaan sebagai pemetik buah di New Zealand dan menipu mereka untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM16,500 kepadanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Maluri, Jalan Jejaka, Cheras, di sini antara September dan Oktober lepas mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ahmad menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan anak sulung daripada empat beradik dan tinggal bersama emaknya yang kini sedang sakit tua.

Majistret Azmil Muntapha Abas membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Disember depan untuk sebutan kes. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan