Pemotong Rumput Didenda RM2,000 Kerana Cederakan Isteri

Diterbitkan: Rabu, 21 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pemotong rumput didenda RM2,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana mencederakan isterinya dengan botol kaca selepas ditegur mangsa merosakkan peralatan sembahyang di depan rumah mereka.

Majistret Nurul'Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap L.Dorarajoo, 55, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap S.Pathiamah, 59, sehingga menyebabkan kecederaan di kepala, di rumah mereka di Brickfields pada 9.30 pagi, 17 Nov lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripadanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Dorarajoo yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama serta memohon agar dijatuhi hukuman denda yang ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan seperti itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan