Dua Sahabat Dilepas Tanpa Dibebaskan Atas Tuduhan Miliki Dadah

Diterbitkan: Rabu, 21 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini, Selasa melepaskan tanpa membebaskan dua sahabat atas pertuduhan memiliki 12 gram morfin, dua tahun lepas.

Hakim Yasmin Abdul Razak membuat keputusan tersebut terhadap R.R.K Aharjunan, 27, dan P.Sorajani, 33, setelah diminta pihak pembelaan yang diwakili T.Suresh untuk mempertimbangkan keadaan kes tersebut yang berlarutan hampir dua tahun dan kegagalan saksi terakhir pendakwaan hadir ke mahkamah sebanyak lapan kali untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun Yasmin mengingatkan kedua-dua tertuduh boleh dituduh semula dan saksi terakhir iaitu ahli kimia, Zulkefli Edin, 38, perlu hadir untuk menjelaskan pada mahkamah berkenaan isu penting dalam kes ini iaitu penukaran warna barang kes.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Chong Yin Xin memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap saksi berkenaan selepas kegagalannya untuk hadir sebagai saksi penting.

Chong memberitahu, selain itu pegawai penyiasat kes cuba menghubungi saksi tersebut namun gagal.

Mengikut pertuduhan, Aharjunan dan Sorajani, bersama-sama didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah bank di Seri Kembangan, pada 3.30 petang, 24 November 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan