Pembantu Kantin Dipenjara 10 Tahun Dan 3 Sebatan Kerana Menyamun

Diterbitkan: Rabu, 14 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kantin dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada Rabu selepas mengaku bersalah menyamun sebuah kereta milik seorang wanita dua minggu lepas.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Shah Afendi Hairee, 24, dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 6 Nov lepas.

Muhammad Shah Afendi didakwa menyamun sebuah kereta jenis Toyota Vios, telefon bimbit jenama HTC, serangkai kunci rumah serta sebuah GPS milik jurujual kereta Ooi Chui Lian, 40, di Pam Minyak Shell Lebuhraya KL-Seremban berdekatan Pusat Perabot Dunia di Brickfields dekat sini pada 7.40 pagi, 3 Nov lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda dan sebatan.

Terdahulu tertuduh memohon hukuman ke atasnya diringankan serta diberikan peluang kedua untuk menebus kesilapannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin.

Sementara itu, di mahkamah yang sama seorang pemotong rumput mengaku tidak bersalah merompak sebuah kereta mewah milik seorang warga emas bulan lepas.

R. Ninthiyanathan, 31, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak sebuah kereta jenis Mercedes Benz C 2300 berharga RM270,000 milik Tan Cheng Poo, 72, dengan menggunakan pisau di Taman Wahyu, Sentul dekat sini pada 5.45 pagi, 17 Okt lepas.

Ninthiyanathan didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin menawarkan wang jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Bagaimanapun peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili Ninthiyanathan memohon jaminan ke atas anak guamnya dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM900 sebulan dan perlu menyara keluarga.

Hakim Mohamad Sekeri membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan setiap awal dan akhir bulan.

Mohamad Sekeri turut menetapkan 17 Dis depan untuk sebutan kes. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan