Muhdalena Didapati Berupaya Hadapi Perbicaraan

Diterbitkan: Selasa, 6 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Muhdalena Ahmad, yang didakwa mengamuk dengan bersenjatakan pedang samurai berhampiran Pejabat Perdana Menteri di sini Julai lepas, berupaya untuk menghadapi perbicaraan.

Laporan daripada Hospital Bahagia, Ulu Kinta, menyatakan wanita berusia 28 tahun dari Kota Damansara ini mengalami gejala kemurungan psikotik dan sedang menerima rawatan antikemurungan.

Laporan itu, yang disediakan perunding forensik psikiatri Dr Rabaiah Mohd Salleh, menyatakan Muhdalena berada dalam keadaan tidak waras ketika kejadian itu serta tidak sedar akibat daripada tindakannya.

Bagaimanapun, menurut Dr Rabaiah dalam laporannya, kini, mental Muhdalena berada dalam keadaan stabil serta berupaya untuk membela diri dan menghadapi perbicaraan.

Timbalan pendakwa raya Kalmizah Salleh memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan menerima laporan perubatan berkenaan daripada hospital itu hari ini.

Peguam M. Visvanathan yang mewakili Muhdalena mengesahkan perkara itu (bahawa beliau menerima laporan tersebut hari ini). Hakim Mohamad Kamil Nizam menetapkan tiga hari - 7, 8 dan 9 Jan, 2013 - untuk perbicaraan kes itu.

Pada 11 Oktober tahun lepas, berikutan permohonan yang dikemukakan Visvanathan berdasarkan syor seorang doktor yang merawat Muhdalena selepas kejadian yang didakwa berlaku itu, Mahkamah Sesyen memerintahkan agar wanita berkenaan diletakkan di bawah pengawasan selama sebulan di sebuah hospital mental.

Pada mulanya, Mahkamah Sesyen menetapkan 23 November sebagai tarikh sebutan kes, tetapi menundanya kepada hari ini.

Muhdalena dikenakan pertuduhan tersebut pada 16 Julai ketika berada di katil Hospital Putrajaya kerana mendapat rawatan bagi kecederaan paha kanannya akibat tembakan.

Dia dituduh melakukan jenayah ugutan dengan mengancam untuk menyebabkan kecederaan teruk terhadap anggota polis bantuan Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri pada pukul 2.30 petang, 9 Julai.

Tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), juga dituduh memiliki sebilah pedang di tempat dan pada waktu yang sama. Tuduhan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pada 11 Oktober, tertuduh dikenakan dua pertuduhan baharu mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, dan dia minta dibicarakan.

Bagi tuduhan pertama, Muhdalena didakwa mengingkari perintah Lans Korporal Ridzuan supaya melepaskan senjatanya di satu kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan.

Dalam tuduhan kedua pula, dia didakwa mengingkari perintah seorang menteri supaya tidak berada di premis berkenaan sekiranya tidak memiliki kad pas atau permit yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Tertuduh menghadapi hukuman penjara maksimum dua tahun atau didena RM1,000, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pertuduhan, jika disabitkan kesalahan.

Dia diikat jamin RM11,500 oleh seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan