Gara-Gara RM100, Juruteknik Dihukum Penjara 10 Tahun, Lima Sebatan

Diterbitkan: Sabtu, 3 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gara-gara merompak RM100 milik seorang lelaki warga Nepal tahun lepas, seorang juruteknik dihukum penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat.

Hakim K.M.Nithiyanantham membuat keputusan itu selepas mendapati E.Kularajah Kumar, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah sebagai benteng terakhir mesti melindungi orang awam melalui hukuman setimpal untuk mencegah orang lain daripada melakukan kesalahan sama," katanya.

Nithiyanantham mengarahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula hari ini.

Kularajah Kumar bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak wang tunai RM100 dan kad rekod kedatangan kerja sehingga mencederakan Surya Bahadur Jogi, 26, seorang pekerja kilang, di hadapan rumahnya di Jalan 8/62B, Bandar Manjalara, Sentul di sini pada 7.30 pagi 29 Oktober 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Sebaik keputusan hakim, tertuduh dilihat terpinga-pinga dan berulang kali berkata dia tidak melakukan kesalahan tersebut dan ibunya yang berada di galeri awam menangis dan seterusnya secara lantang berkata kepada hakim bahawa hukuman itu terlalu berat.

"Dia akan "mati" di dalam sana (penjara), tolonglah, saya merayu kepada anda," kata wanita itu lalu keluar dari mahkamah. Sepanjang perbicaraan yang bermula 30 Julai lepas, seramai empat saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Izuddin Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

"Walaupun hanya melibatkan RM100, mungkin ia satu nilai yang sedikit tetapi bagi mangsa yang hanya memperoleh gaji RM900 sebulan, ini adalah nilai yang besar," katanya.

Mangsa yang turut hadir ke mahkamah hari ini untuk memberi keterangan mengenai impak kejadian rompakan itu terhadap dirinya, memberitahu mahkamah bahawa dia kehilangan RM100 dan kad rekod kedatangan kerja serta berdarah di bibir akibat dicederakan tertuduh. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 24 Ogos 2017 3:30 PM

Ebba Tak Minat Jadi Jurutera

Khamis, 24 Ogos 2017 12:38 PM

Wan Sharmila Kena 'Badi' Cinta

Khamis, 24 Ogos 2017 9:00 AM

Susunan Lagu Dari Sweden Gagal Takluk Persis

Rabu, 23 Ogos 2017 3:00 PM

Shuib Sepahtu 'Kuat' Cari Duit!

Rabu, 23 Ogos 2017 12:00 PM

Ayda Jebat Impi 'Mata' Tercalon Anugerah

Rabu, 23 Ogos 2017 9:00 AM

Keghairahan Shahrol Shiro Makan Diri?

Selasa, 22 Ogos 2017 12:00 PM

Sakan! Shiha Zikir Kini Hidup Mewah

Selasa, 22 Ogos 2017 9:00 AM

Tania Hudson Tak jangka Kembali Aktif

Isnin, 21 Ogos 2017 9:00 AM

#BiziBody: Syafiq Kyle Pentingkan Penampilan

Kolumnis

iklan

Iklan