Ibu Kugan Beri Keterangan Jumaat Ini Dalam Kes Saman RM100 Juta

Diterbitkan: Rabu, 31 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ibu A. Kugan, tahanan yang meninggal dunia semasa dalam jagaan polis, akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat ini dalam kes saman RM100 juta yang difailkannya terhadap Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan empat yang lain atas dakwaan cuai dan melanggarkan kewajipan statutori.

Hakim Datuk V. T. Singham dimaklumkan hari ini bahawa selain N. Indra, 44, plaintif bercadang memanggil peguam N. Surendran sebagai saksi utama mereka dalam perbicaraan itu.

Peguam L. Bani Prakash, yang mewakili plaintif, turut memberitahu mahkamah bahawa plaintif menghadapi masalah untuk menyampaikan sepina kepada ahli patologi forensik Dr Prashad Samberkar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) yang menjalankan autopsi kedua ke atas mayat Kugan.

Beliau berkata kontrak Dr Prashad telahpun tamat dan beliau pulang ke negara asalnya, India, pada awal Oktober.

Bagaimanapun, beliau berkata sepina telahpun disampaikan kepada Ketua Jabatan Forensik UMMC Prof Madya Dr Nazarina Abdul Rahman.

Hakim Singham memberitahu Bani Prakash bahawa beliau sepatutnya lebih proaktif ketika merekodkan kenyataan Dr Prashad semasa beliau (Dr Prashad) berada di negara ini atau mendapatkan bantuan mahkamah dalam perkara itu memandangkan keterangan ahli patologi itu amat penting kepada kes plaintif.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad memberitahu mahkamah bahawa selain Khalid, defendan bercadang memanggil lapan saksi yang sebahagian besarnya saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes jenayah anggota polis V. Navindran yang didapati bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan, tiga tahun lepas.

Pada 11 Jun tahun ini, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap Navindran selepas mendapati konstabel polis itu bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan, seorang suspek kes curi kereta mewah, di sebuah bilik soal siasat di balai polis Taipan USJ, di Subang Jaya pada 16 Jan, 2009.

Pada 13 Januari, Indra selaku pentadbir harta pusaka Kugan, menamakan Khalid yang ketika itu Ketua Polis Selangor sebagai defendan pertama, Navindran sebagai defendan kedua, diikuti bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan simati (Kugan) semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan, 2009 dan untuk menyelia serta mengawasi anggota polis di situ.

Ibu berusia 44 tahun itu turut mendakwa defendan gagal menyediakan satu sistem yang selamat ketika menyoal suspek semasa dalam tahanan polis dan gagal menyediakan penjagaan kesihatan kepada anak lelakinya itu.

Indra mendakwa defendan juga cuba menyembunyikan punca sebenar kematian Kugan dan/atau mengeluarkan kenyataan yang dikira dapat melepaskan pihak polis daripada dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan.

Dia memohon ganti rugi RM100 juta, selain ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan