Ramasamy Tarik Balik Saman Fitnah Terhadap Wartawan, The Star

Diterbitkan: Isnin, 29 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P.Ramasamy pada Isnin menarik balik saman fitnah berjumlah RM10 juta yang difailkannya terhadap seorang wartawan akhbar The Star serta syarikat penerbit akhbar itu.

Ramasamy, menerusi peguamnya A.Sivanesan, memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya dan defendan bersetuju membuat penyelesaian namun terma-terma penyelesaian adalah sulit dan persendirian.

Berikutan permohonan Ramasamy, Hakim V.T.Singham membatalkan saman itu tanpa kos. Pada 13 Februari lalu, Ramasamy memfailkan saman itu dengan menamakan wartawan Ian McIntyre dan Star Publications (M) Bhd sebagai defendan.

Saman itu berkaitan dua artikel bertajuk "Distress in DAP continues" yang diterbitkan pada 23 Disember tahun lepas dan "What Ramasamy said in the interview with The Star" yang diterbitkan pada 27 Disember tahun lepas.

Ramasamy mendakwa akibat penyiaran kedua-dua artikel itu, beliau telah dicederakan dengan teruk dalam kedudukannya, reputasi dan kepercayaan dan telah dibawa ke dalam skandal awam, kebencian yang amat sangat dan juga penghinaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan