Sarjan Polis Diarah Jalani Hukuman Penjara 36 Bulan Selepas Rayuan Ditolak

Diterbitkan: Selasa, 23 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Seorang sarjan polis diarah menjalani hukuman penjara 36 bulan pada Isnin selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman serta denda RM20,000 kerana melakukan rasuah.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Abdul Wahab Patail dan Mah Weng Kwai sebulat suara menolak rayuan akhir Mahir Epandi Ahmad.

Pada 14 Disember 2010, Mahkamah Sesyen Kuantan mendapati Mahir Epandi bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM25,000 bagi setiap pertuduhan. Dia diarah menjalani hukuman itu secara berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, Mahir Epandi, 51, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, didakwa menerima RM500 daripada Teoh Ting Keong sebagai balasan bahawa dia (Mahir) tidak mengambil tindakan terhadap Teoh, yang merupakan pemandu pasir kerana kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan dan Peraturan-peraturan Trafik 1959.

Dia melakukan kesalahan itu di kafe Hotel Seri Malaysia pada 5.16 petang, 10 Julai 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Mahir Epandi didakwa menerima rasuah RM500 daripada Teoh bagi tujuan sama di tempat sama pada 11.20 pagi, 6 Ogos 2009.

Pada 15 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuantan mengekalkan hukuman penjara 36 bulan tetapi mengurangkan denda kepada RM20,000.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Mahir Epandi diwakili peguam Boestamam Ahmad manakala Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Sophian Zakaria mewakili pihak pendakwaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan