Pembunuhan Banting: Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Empat Tertuduh

Diterbitkan: Selasa, 23 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa sebulat suara menolak rayuan empat tertuduh dalam kes pembunuhan di Banting untuk memanggil tiga timbalan pendakwa raya menjadi saksi pembelaan dalam perbicaraan ke atas mereka.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel lima orang hakim berkata keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk mengeluarkan sepina terhadap ketiga-tiga timbalan pendakwa raya itu, tidak boleh dirayu kerana ia dibuat semasa dalam perbicaraan.

Keempat-empat tertuduh bekas peguam N.Pathmanabhan, dan tiga orang pekerja ladang, T.Thilaiyalagan, R.Matan dan R.Kathavarayan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang mengenepikan sepina untuk tiga timbalan pendakwa raya, Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani supaya tampil sebagai saksi pembelaan.

Hakim Zulkefli berkata keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan bantahan awal pihak pendakwaan yang menyatakan bahawa perkara berkenaan tidak boleh dirayu kerana ia dibuat di tengah-tengah perbicaraan dan tidak melupuskan hak tertuduh, adalah betul.

Empat orang hakim persekutuan lain yang bersidang bersama Hakim Zulkefli terdiri daripada Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

Perbicaraan kes itu disambung semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa selepas terhenti sejak Julai tahun ini.

Keempat-empat tertuduh memohon supaya ketiga-tiga timbalan pendakwa raya itu dipanggil menjadi saksi untuk menggugurkan dua bahan bukti yang dikemukakan oleh ketiga-tiga mereka di akhir pendakwaan kes, sebagai usaha menimbulkan kesangsian terhadap dua pekerja ladang, U.Suresh dan K.Sarawanan.

Kedua-dua pekerja ladang berkenaan dipanggil sebagai saksi pihak pendakwaan semasa perbicaraan tetapi dikatakan telah menukar pendirian.

Bahan bukti itu ialah nota prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok di mana Suresh dan Sarawanan mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan melupuskan bukti berkaitan pembunuhan dan kedua-dua mereka dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun.

Ketiga-tiga timbalan pendakwa raya itu juga terlibat dalam prosiding di Mahkamah Majistret Telok Datok.

Suresh, 28, dan Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka, selepas Mahkamah Rayuan pada 24 Ogos tidak membenarkan mereka merayu di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menambah tempoh hukuman penjara ke atas mereka.

Mahkamah Tinggi mengenepikan sepina pada 23 Julai tahun ini.

Pada 13 September tahun ini Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan yang dikemukakan oleh keempat-empat tertuduh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengenepikan sepina berkenaan selepas Mahkamah Rayuan menyetujui bantahan awal oleh pihak pendakwaan.

Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan, dan Kathavarayan, diperintahkan membela diri atas pertuduhan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka dituduh melakukan pembunuhan itu di Ladang Gadong, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting, Selangor, antara 8.30 hingga 9.45 malam 30 Ogos 2010. Mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan