Penganggur Didakwa Sebabkan Kecederaan Pegawai Polis Dan Juru Elektrik

Diterbitkan: Sabtu, 20 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Jumaat, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pegawai polis dan seorang juru elektrik.

J.Chitharthan Kumar, 24, dari Puchong, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Inspektor Jasman Osman, dari Balai Polis Kinrara, dengan melanggar pegawai polis itu, menggunakan kereta, di Jalan Persiaran Kinrara, berdekatan susur keluar Lebuhraya Kesas menghala ke Shah Alam, pada 2 pagi, 13 Oktober lepas.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Chitharthan Kumar turut didakwa mendatangkan cedera terhadap S.Vijaya Varmah, pada bahagian kepala, tangan kanan dan kiri serta lutut sebelah kanan mangsa itu dengan menggunakan sebilah parang, berhampiran Restoran Belanga, Jalan TK 4/10, Taman Kinrara, Puchong, pada pukul 10 malam, 11 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan pertama, Majistret Nor Afidah Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan bagi pertuduhan kedua RM3,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat manakala tertuduh diwakili peguam Gursharonjit Kaur. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan