Sembilan Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rompak Cip Mikro

Diterbitkan: Jumaat, 19 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Sembilan individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencuri dan menyimpan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) yang bernilai RM22 juta milik sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai, Bukit Tengah di sini pada 7 Oktober lepas.

Mereka didakwa di dua mahkamah berasingan dengan empat berdepan pertuduhan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan manakala lima lagi menyimpan cip mikro yang dirompak itu.

S.Thurai, A.Jaykumar, S.Somasundram, dan G.Hari Kirusnan didakwa mencuri 268 kotak cip mikro CPU milik syarikat Moduslink Sdn Bhd di Lorong Perusahaan Maju 8, Kawasan Perusahaan Perai pada 2.26 pagi, 7 Oktober lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Nabishah Ibrahim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 12 November depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim dan peguam Jagjit Singh mewakili Jaykumar manakala Thurai, Somasundram serta Hari Kirusnan tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Lim Heang Eu, Ong Liang Poh, Lim Ban Leng, Tan Hee Hock dan M. Ravindran didakwa menyimpan harta curi iaitu 256 kotak cip mikro CPU, yang didapati bersangkutan dengan kes rompakan berkumpulan melibatkan 268 kotak cip mikro di Moduslink Sdn Bhd, Lorong Perusahaan Maju 8, Kawasan Perusahaan Perai.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Dis untuk sebutan kes.

Beliau turut memerintahkan semua tertuduh melapor diri di mana-mana balai polis berhampiran setiap Sabtu sehingga perbicaraan bermula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud manakala peguam Rafael Abdullah mewakili Ravindran, C.P Ang mewakili Heang Eu, S. Prakash mewakili Tan dan Andy Ooi mewakili Ong.

Seorang lagi tertuduh, Ban Leng tidak diwakili peguam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan