Empat Lelaki Dipenjara Lima Tahun Sebabkan Kematian Seorang Penganggur

Diterbitkan: Rabu, 17 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas empat lelaki yang mengaku menyebabkan kematian seorang penganggur, tahun lepas.

Hakim, Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan P.Rajasekaran, 45, K.Parameswaran, 40, M.Batumalai, 29, dan P.Saravanan, 29, menjalani hukuman itu mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 21 dan 22 Ogos 2011.

Mereka didakwa menyebabkan kematian Noor Azlan Mohd Noor, 30, di kawasan Podium Padang Merdeka, Port Dickson antara 8.30 malam hingga 11 malam pada 20 Ogos 2011.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad, pada hari kejadian, semua tertuduh sedang menjamu selera di kawasan Podium Padang Merdeka sebelum didatangi mangsa yang dalam keadaan khayal.

Mangsa kemudian secara tiba-tiba menyepak nasi yang dimakan Parameswaran dan Batumalai serta merampas minuman mereka, sekali gus menyebabkan berlaku pergaduhan atas provokasi.

Semua tertuduh kemudian memukul Noor Azlan sehingga menyebabkan kematiannya dan membuang mayat mangsa di tepi longkang berhampiran lokasi kejadian bagi menghapuskan bukti sebelum ditemui keesokan hari.

Hasil bedah siasat mendapati Noor Azlan meninggal dunia akibat hentakan pada bahagian leher. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan