Pensyarah Kanan UTHM Didakwa Tipu Wang Pengusaha Resort RM16,000

Diterbitkan: Selasa, 16 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Seorang pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas tuduhan menipu wang seorang pengusaha resort sebanyak RM16,000.

Mohd Effendi Daud, 39, dituduh menipu Paridah Husin, 46, pada 29 Julai tahun lalu di UTHM dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayainya akan mengadakan Majlis Penyampaian Sijil untuk pelajar UTHM sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 19 Nov ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Noor Fazlin Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Syarif. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan