Bersih 3.0: Mahkmah Dengar Permohonan Anwar 23 Nov Ini

Diterbitkan: Selasa, 16 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 23 November ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu sama ada Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di depannya pada Selasa.

Anwar memfailkan permohonan itu bagi merujuk persoalan perundangan berhubung satu daripada tiga pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0 terhadapnya.

Pada 22 Mei lepas, Anwar dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali serta Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menyertai protes jalanan yang menimbulkan kekecohan di ibu negara.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Majistret Zaki Ashraf Zubir yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya orang awam tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April hingga 1 Mei 2012.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sepanjang Jalan Tun Perak di sini antara 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April lepas mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman maksimum denda RM10,000 jika sabit kesalahan.

Anwar, Mohamed Azmin dan Badrul Hisham merupakan kumpulan individu pertama didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman, yang berkuat kuasa tahun ini.

Mereka juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim dengan menghasut ketiga-tiganya membuka sekatan besi halangan di Jalan Raja pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa bersama penyokong 'Gabungan Bersih dan Adil' yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan mengingkari perintah Mahkamah Majistret yang dikeluarkan pada 26 April lepas, dan keingkaran itu mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan itu.

Anwar, 64, Mohamed Azmin, 48 dan Badrul Hisham, 34, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Raja pada 3 petang, 28 April lepas mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan