Saya Tidak Lakukan Sebarang Kesalahan Jenayah - Tengku Fakhry

Diterbitkan: Selasa, 9 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Adinda Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan yang berunsur jenayah semasa pihak polis menahannya pada 30 Julai 2009.

Tengku Muhammad Fakhry, 34, dalam penyataan saksi berkata beliau juga tidak diberitahu sama ada dia ada melakukan sebarang kesalahan berunsur jenayah dan tidak tahu mengapa dirinya ditahan polis di pekarangan Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan.

"Saya telah ditahan sekurang-kurangnya satu jam oleh pihak polis dan tidak dibenarkan keluar dari Istana Mahkota pada masa itu," katanya pada perbicaraan kes saman RM150 juta beliau terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan tiga lagi yang didakwa menahannya secara salah pada tarikh itu.

Saman itu difailkan pada 9 Dis tahun lepas dan selain Ismail, beliau menamakan Ketua Pengawal Peribadi Sultan Kelantan ASP Norazman Ismail, Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Polis Diraja Malaysia sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutan, Tengku Muhammad Fakhry mendakwa beliau ditahan secara salah pada 30 Julai 2009 di kawasan Istana Mahkota Kubang Kerian semasa memandu sebuah kereta jenis Bentley Brooklands.

Beliau menuntut ganti rugi am RM100 juta, RM50 juta ganti rugi teruk serta contoh, faedah pada kadar empat peratus, kos dan lain-lainnya.

Pada prosiding hari Isnin, Tengku Muhammad Fakhry berkata ketika ditahan, peguam Datuk Mohd Haziq Pillay turut berada bersamanya dalam kereta jenis Bentley Brooklands, yang dimiliki ayahandanya, Sultan Ismail Petra.

Saksi kelima itu berkata sebelum ditahan polis, beliau mengambil kereta itu dari garaj Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Tengku Muhammad Fakhry berkata beliau berbuat demikian kerana sebelum 30 Julai 2009, beliau telah dititahkan ayahandanya untuk membawa kenderaan itu dari istana tersebut ke Singapura.

Bagaimanapun, katanya, semasa dalam perjalanan untuk membawa keluar kenderaan itu, terdapat sebuah kereta Volvo menghalang perjalanannya, dan pintu utama istana juga ditutup.

Menceritakan situasi pada masa itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata beliau nampak beberapa anggota polis yang bersenjata keluar masuk ke dalam istana menyebabkannya berasa amat takut.

Katanya, beliau menyaman defendan kerana kebebasan dan hak asasinya telah disekat tanpa sebab munasabah.

Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad, yang mewakili defendan, Tengku Muhammad Fakhry berkata beliau tidak mengetahui perintah Pemangku Sultan Kelantan ketika itu, Tengku Muhammad Faris Petra, bagi menghalangnya membawa keluar kereta tersebut dari istana berkenaan.

Tengku Muhammad Fakhry juga tidak bersetuju dengan cadangan Azizan bahawa tindakan pihak polis terhadapnya bukan untuk menghalang dirinya tetapi sebenarnya menghalang kereta Bentley Brooklands itu dibawa keluar dari istana.

Perbicaraan di depan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof bersambung esok. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan