Lelaki Filipina Dipenjara 15 Tahun Kerana Membunuh

Diterbitkan: Selasa, 9 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, Selasa menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas seorang lelaki rakyat Filipina selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan membunuh seorang rakan senegara tanpa niat lebih dua tahun lalu.

Elvinhal Tahir, 31, mengaku membunuh Abdul Hakim@Hakim Human, 37, menggunakan parang di kawasan jemuran ikan kering di Blok 2, Kampung Titingan, Jalan Damai, pada jam 11 malam, 27 November 2009 ketika mangsa dengan rakan-rakannya sedang bermain judi. Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dauglas Primus Sikayun membuat keputusan berkenaan selepas berpuas hati dengan keterangan empat saksi, termasuk isteri tertuduh, sepanjang perbicaraan sebelum tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan. Elvinhal, seorang buruh dan mempunyai dua orang anak, mengaku membunuh Abdul Hakim di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimam 30 tahun jika sabit kesalahan. Pihak pendakwa diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam Rozainah Mohd Said. Berdasarkan fakta kes, pada 27 November 2009, kira-kira 11 malam, Abdul Hakim bermain judi domino dengan tiga rakannya yang lain apabila tertuduh tiba-tiba muncul di belakang mangsa lalu menetak si mati di bahagian leher dan bahu beberapa kali sebelum meninggalkan tempat kejadian. Ketika melarikan diri ke arah jalan raya, tertuduh kemudian membuang sebilah parang jenis barung di kawasan jambatan di Blok 6, Kampung Titingan sebelum pergi bersembunyi di kawasan sebuah kedai tayar di Batu 3.5, Jalan Apas. Bagaimanapan tertuduh diberkas oleh seorang pengawal keselamatan kedai tayar berkenaan kerana disyaki ingin mencuri barangan di premis itu dan semasa diserahkan kepada polis tertuduh yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri memperkenalkan diri sebagai Tahir Bin Johan. Pada 1 Disember, semasa tertuduh berada di Pusat Tahanan Sementara Tawau untuk proses pengusiran balik ke negara asal kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, pihak polis menerima maklumat bahawa Tahir Bin Johan sebenarnya adalah suspek kes pembunuhan di Blok 2, Kampung Titingan berkenaan. Suspek ditangkap pada hari yang sama dan mula dibicarakan pada 29 Mac 2012. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan