Mayat Stephanei Foray Ditemui Dalam Lubang Gua Berhampiran Rumah Tertuduh

Diterbitkan: Jumaat, 28 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu mayat pelancong wanita warga Perancis Stephanie Foray ditemui dalam lubang sebuah gua yang terletak berdekatan rumah tertuduh di jeti Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Pegawai di Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Inspektor Shuhada Salim berkata mayat serta sebuah beg milik wanita itu ditemui ketika beliau dan satu lagi pasukan polis dari IPK Johor, yang diketuai Inspektor Mohd Zairi Badderul, menjalankan siasatan di kawasan tertuduh dipercayai mencampakkan mayat mangsa.

"Saya yang menunggu di luar gua dipanggil oleh Inspektor Zairi untuk masuk ke dalam gua dan memaklumkan bahawa tertuduh (yang ketika itu ada bersama pasukan penyiasat) menunjukkan tempat mayat mangsa dibuang di dalam satu lubang.

"Inspektor Zairi juga selepas itu menunjukkan kepada saya satu beg galas yang berada dalam lubang kecil berhampiran pintu masuk gua tersebut," katanya pada perbicaraan kes Asni Omar, 37, yang didakwa membunuh Foray di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin antara 8 malam, 10 Mei dan 12 tengah hari pada 12 Mei tahun lepas.

Saksi ke-13 pendakwaan itu juga berkata selepas itu, mereka bergerak ke rumah tertuduh yang terletak kira-kira 250 langkah dari kawasan gua di mana mayat mangsa ditemui.

Beliau berkata, Mohd Zairi kemudian menunjukkan sebuah almari dalam bilik di bahagian depan rumah tertuduh yang mengandungi tiga beg, dipercayai milik mangsa.

"Saya kemudian membuat pemeriksaan ke atas ketiga-tiga beg tersebut dan terdapat beberapa item kepunyaan mangsa di dalam beg berkenaan, dan menemui sebatang berus gigi berjenama Happy Morning, sebatang berus gigi Oral B, pencukur Willkinson Swort, beg plastik kosong warna hijau dan biru di dalam beg kain berbunga.

"Manakala dalam satu lagi beg berwarna hitam bernama Aguts H, terdapat beg kecil yang di dalamnya mengandungi tiga utas rantai warna perak, dua utas rantai tangan warna kuning dan sebentuk cincin berwarna perak," katanya.

Shuhada berkata, Mohd Zairi juga meminta beliau memeriksa dinding berhampiran dapur, yang mempunyai kesan telah dilap, kerana disyaki mempunyai kesan darah.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Mariana Yahya disambung esok. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan