Koperal Polis Didakwa Terima Rasuah RM2,500

Diterbitkan: Jumaat, 28 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,500 pada Febuari lepas.

Mohd Darawi Abdul Rahman, 38, yang bertugas di Balai Polis Malim, didakwa menerima rasuah daripada Abu Bakar Ahmad sebagai dorongan tidak melakukan tangkapan bagi kesalahan memiliki dadah jenis Syabu.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di sebuah premis menjual tayar dan bateri kereta di Jalan Batang Tiga, Tanjung Kling pada 16 Feb lepas mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Sazali Omar membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Oktober depan untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, Mohd Darawi, yang diwakili peguam M.Saravanan, memberitahu mahkamah dia telah berkhidmat selama 15 tahun dalam pasukan keselamatan dan isterinya juga seorang anggota polis serta mempunyai empat anak yang masih bersekolah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd Heikal Ismail. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan