Kes PKFZ: Ada Maklumat Yang Palsu - Dr Ling

Diterbitkan: Rabu, 26 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia hari ini bersetuju bahawa surat yang dihantarnya kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mengandungi isi kandungan yang palsu.

Dr Ling, 68, berkata surat bertarikh 29 Jun 2002 yang disediakan oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Abdul Rahman Mohd Noor itu mengandungi kadar faedah dan ia berdasarkan keputusan mesyuarat yang diadakan sebelum itu.

Beliau turut mengakui hanya menandatangani surat tersebut tanpa mengetahui kandungannya kerana mempercayai pegawai terbabit.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah ketika pemeriksaan balas tidakkah beliau menyoal kakitangannya dan meneliti terlebih dahulu, Dr Ling berkata: "Jika anda tidak percayakan (pegawai) anda akan mempunyai terlalu banyak kerja untuk dilakukan setiap hari.

"Siapa kata saya tidak pernah tanya? Mereka melaporkan kepada saya setiap hari, ia (projek) berjalan lancar."

Dr Ling bagaimanapun tidak bersetuju bahawa beliau telah menipu Dr Mahathir dan sengaja menghantar surat tersebut walaupun mengetahui ianya mengandungi maklumat yang palsu.

Surat bertajuk 'Cadangan Pengambilan Balik Tanah di Pulau Indah" itu ada menyatakan tentang rundingan dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) berdasarkan kaedah 'sedia membeli dan sedia menjual' yang menetapkan kadar pembelian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) dan kadar faedah 7.5 peratus setahun.

Ia juga menyatakan bahawa nilaian tersebut telah dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Turut dilampiran bersama surat tersebut ialah harga keseluruhan tanah seluas 999.5 ekar berjumlah RM1.088 bilion.

Dr Ling, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Terdahulu, Dr Ling memberitahu bahawa pegawai kanannya telah mengadakan mesyuarat bersama KDSB tanpa pengetahuannya dan tidak mengetahui hasil rundingan.

Pada prosiding lalu, pegawai JPPH memberi keterangan bahawa nilaian terhadap tanah itu adalah sebanyak RM21 skp dan kadar faedah sebanyak 6 peratus.

Selain itu, Dr Ling turut memberitahu bahawa beliau tidak mengetahui jumlah sebenar pembayaran pembelian tanah kerana ia diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

Ditanya sama ada beliau sengaja tidak mendedahkan jumlah faedah sebanyak 7.5 peratus kepada Kabinet dan jumlah keseluruhan melebihi RM1.088 bilion, Dr Ling berkata: "Tidak bersetuju."

Beliau juga tidak mengetahui sebarang pengeluaran bon untuk pembelian tanah serta tidak ambil tahu tentang urusan pembelian kerana tugasnya hanya perlu memastikan ia diperoleh secepat mungkin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung esok. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan