Dua Rakan Didakwa Ugut Minta Wang Perlindungan

Diterbitkan: Selasa, 18 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa terhadap pertuduhan mengugut seorang wakil pengusaha syarikat bas, Mac lepas.

Mohamad Khairuldin Mohd Shamsuri, 20, yang menganggur, dan Syamsul Syahrul Tanjung, 29, pemandu bas, didakwa dengan niat bersama mengugut Ng Ah Chi, 56, dengan cara meminta wang perlindungan sebanyak RM18,000 bagi tempoh enam bulan.

Mereka yang masing-masing dari Taman Selayang Sejati dan Taman Sri Segambut di sini didakwa melakukan kesalahan itu di R-60, Jalan Umbun Taman Setapak, Jalan Gombak, Sentul di sini pada 12 tengah hari, 2 Mac lepas.

Mereka yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim menawarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan tersebut dan menetapkan 3 Oktober untuk sebutan semula kes. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan