Yim Pek Ha Perlu Dibebaskan Kerana Wujud Keraguan

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suri rumah Yim Pek Ha perlu dilepas dan dibebaskan oleh kerana wujud keraguan sama ada beliau sebenarnya orang yang mencederakan pembantu rumah Indonesia Nirmala Bonat, demikian Mahkamah Rayuan di sini diberitahu pada Jumaat.

Peguam Yim, Datuk Jagjit Singh berkata terdapat banyak percanggahan dan kesilapan pada keterangan Nirmala mengenai bila ia dikatakan diserang.

Beliau berkata Nirmala memberi keterangan bahawa ia berdiri tidak bergerak bila seterika panas dan air panas dikenakan pada tubuhnya.

"Apakah ini kelakuan 'natural' seseorang tidak bergerak bila seterika panas diletakkan atau air panas disimbah ke badannya," kata Jagjit Singh dalam rayuan Yim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atasnya kerana menyebabkan kecederaan teruk terhadap pembantu rumah itu.

Jagjit Singh berhujah, kecederaan yang dialami Nirmala di pahanya akibat air panas adalah atas tindakannya sendiri oleh kerana air panas itu dicurah bukan disimbah ketika Nirmala berada dalam keadaan duduk. Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keterangan tiga saksi pendakwaan yang tidak menolak kemungkinan kecederaan dialami Nirmala akibat perbuatannya sendiri.

Jagjit berkata adalah menjadi tugas Mahkamah Rayuan mempertimbang teori berkenaan dengan hati-hati dan tanpa mengikut perasaan untuk ia mencapai rumusan fakta dengan jelas.

"Berdasarkan keterangan secara keseluruhan yang dikemukakan di mahkamah, seseorang itu tidak boleh mengatakan bahawa adalah jelas tanpa keraguan bahawa tertuduh (Yim) dan bukan orang lain yang menyebabkan kecederaan itu (ke atas Nirmala)," kata beliau.

Seorang lagi peguam yang mewakili Yim, Akhbardin Abdul Kader berhujah bahawa terdapat halangan keterangan oleh pihak pendakwa yang tidak memanggil sepupu Nirmala, Fermina Anunut untuk memberi keterangan dan ia (pihak pendakwa) tidak juga menawarkan dirinya sebagai saksi kepada pihak pembela.

"Pihak pendakwaan dengan sengaja menghantar saksi penting ini (Fermina) balik ke Indonesia. Saksi ini berkata beliau diugut jangan memberi keterangan bagi pihak pembelaan dalam kes ini," kata beliau. Dalam kenyataan saksinya yang direkod oleh pegawai penyiasat, Fermina menyatakan bahawa Nirmala mempunyai sejarah mencederakan dirinya sendiri bila mengalami sawan babi.

Akhbardin berkata seorang saksi pakar perubatan pembelaan dan seorang saksi pendakwaan yang memeriksa Nirmala juga mengesahkan bahawa beliau menghidap penyakit "Mild Mental Retardation" (MMR) (Rencatan Mental Ringan) dan adalah biasa bagi penghidap sedemikian mencederakan diri sendiri.

Beliau berkata terdapat banyak keraguan dalam kes ini, dan berkata pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yim atas kesemua empat tuduhan.

Yim, 44, menghadapi empat tuduhan menyebabkan kecederaan teruk ke atas Nirmala di apartmen di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.

Di akhir perbicaraan, beliau didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Nirmala dengan seterika panas dan air panas tetapi dilepaskan pada tuduhan keempat mencederakan pembantu rumah itu dengan cawan logam.

Berikutan rayuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tempoh hukuman penjaranya dikurangkan ke 12 tahun.

Yim merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Sementara pihak pendakwaan juga membuat rayuan balas.

Perbicaraan di hadapan tiga hakim terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Rayuan Datuk Clement Allan Skinner, Datuk Linton Albert dan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan diteruskan pada 1 Oktober.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan