Syarikat Perkapalan Didenda RM90,000 Pindah Minyak Tanpa Kebenaran

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Sebuah syarikat perkapalan didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran pada Januari tahun lepas.

Zone Artic Sdn Bhd, pemilik kapal MT Tioman Satu, didapati bersalah melakukan pemindahan minyak atau 'bunkering' bersama sebuah lagi kapal di perairan Tanjung Piai, Pontian pada kira-kira 1.45 tengah hari, 27 Jan tahun lalu.

Syarikat itu gagal mendapatkan Permit Petroleum daripada Jabatan Laut untuk melakukan aktiviti tersebut.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 491B(3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 491B(4) ordinan sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Nu'aman Mahmud Zuhudi memerintahkan Zone Artic dikenakan penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali manakala syarikat itu diwakili peguam Aziz Shukor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan