Kes Bunuh Empat Sekeluarga: Mahkamah Perintah Remaja Dibicara

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SIBU: Mahkamah Majistret di sini, Jumaat membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membicarakan remaja lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Tinggi atas empat pertuduhan bunuh dan satu cubaan membunuh.

Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan permohonan yang dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz Abdul Razak.

Remaja berkenaan menghadapi empat pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori dan satu dakwaan cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh warga emas, Leong Nyuk Lan, 76, menggunakan tukul besi di antara 6 pagi hingga 7.30 pagi pada 3 Jan lalu di rumah di Lorong 13/B1, Jalan RTM, di sini.

Pertuduhan kedua, dia didakwa membunuh anak lelaki wanita itu, Ling Tong Hock, 36, seorang ahli perniagaan di tempat dan waktu sama dengan menggunakan senjata sama.

Remaja itu juga menghadapi dua pertuduhan membunuh dua anak Ling iaitu David Ling Chei Qi, 10, dan Amy Ling Zi Jiun, 7, di tempat dan waktu yang sama menggunakan senjata sama.

Tuduhan kelima, dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh seorang lagi anak lelaki Ling, Kevin Ling Chei You, 8, yang cedera parah dalam serangan itu.

Isteri Ling, Li Xiao Lan, 28, yang juga warganegara China, berjaya melarikan diri menerusi tingkap bilik tidur di tingkat atas rumahnya, ke rumah jiran.

Remaja berkenaan yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan bersama ibunya berusia 44 tahun, pada 5 Januari lepas.

Siasatan pihak polis dibantu enam anggota pasukan Forensik Bukit Aman diketuai ACP Liaw Kam Soon.

Remaja itu yang merupakan jiran mangsa, dihantar untuk pemantauan mental selama sebulan di Hospital Sentosa, di Kuching. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan