Anggota Polis Dipenjara Sehari, Denda RM10,000 Kerana Rasuah

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Seorang konstabel sokongan polis dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas kesalahan rasuah.

P. Prathab, 24, dari Taman Nusa Bestari, Skudai di sini, sebelum itu mengaku salah menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada T. Ghanasundri di No. 2077, Jalan Pulai Jaya 55, Taman Pulai Jaya, pada 11.30 pagi, 29 Mac tahun lalu.

Rasuah itu adalah sebagai dorongan untuk membantu melepaskan suami Ghanasundri, yang ditahan di lokap Balai Polis Ulu Choh.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Prathab tidak diwakili peguam memohon agar mahkamah meringankan hukuman ke atasnya kerana tidak bekerja dan menanggung adiknya yang masih belajar.

Pertuduhan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Sajori Martubi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan