Jalan Penghujung Bagi Ambiga Cabar Notis Larangan Ke Sarawak

Diterbitkan: Khamis, 13 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Usaha Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S. Ambiga untuk mencabar larangan memasuki negeri Sarawak sudah sampai ke jalan penghujung apabila Mahkamah Persekutuan pada Rabu menafikan beliau kebenaran untuk merayu.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan sidang panel lima hakim, memutuskan bahawa beliau sepatutnya memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar notis itu di Mahkamah Tinggi di Sarawak.

Katanya Seksyen 23 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA) 1964 tidak memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Tinggi Malaya untuk mendengar prosiding sivil di luar bidang kuasa tempatan.

Hakim Zulkefli berkata Ambiga gagal untuk memenuhi ambang keperluan mengikut Seksyen 96 (a) Akta CJA untuk diberi kebenaran merayu.

Katanya mahkamah berpendapat bahawa persoalan undang-undang dirangka berkenaan perkara-perkara yang tidak pernah dibangkitkan di mahkamah rendah.

Ambiga telah memohon kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis larangan memasuki Sarawak yang dikeluarkan Pengarah Imigresen Sarawak tahun lepas.

Panel tersebut, yang turut disertai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datin Paduka Zaleha Zahari, sebulat suara menolak permohonannya dan mengarahkan beliau membayar kos guaman berjumlah RM10,000.

"Ini adalah penghujung jalan. Saya tidak boleh berbuat apa-apa lagi di sana. Pada ketika ini, saya tidak boleh pergi ke Sarawak sehingga dan melainkan larangan itu ditarik balik," kata Ambiga kepada pemberita di luar mahkamah selepas keputusan itu.

Katanya beliau terpaksa melihat jika larangan itu ditarik balik sambil menambah hanya cara untuk mengetahuinya adalah untuk beliau cuba memasuki negeri itu lagi.

Beliau juga berkata adalah lewat untuk beliau memfailkan permohonan semakan kehakiman di Sarawak.

Aturan 53 Kaedah 6 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 menyatakan bahawa permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman perlu dibuat dalam tempoh 40 hari dari tarikh apabila alasan permohonan pertama dibangkitkan atau apabila keputusan pertama kali disampaikan kepada pemohon.

Ambiga, bekas presiden Majlis Peguam, memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mei tahun lepas, dengan memohon perintah 'certiorari' untuk membatalkan notis yang dikeluarkan oleh Pengarah Imigresen Sarawak bagi melarang beliau daripada memasuki Sarawak semasa pilihan raya negeri itu tahun lepas.

Beliau telah menamakan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Pengarah Imigresen Sarawak dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai responden.

Pada 15 April tahun lepas, Ambiga dinafikan masuk ke Sarawak semasa kempen pilihan raya sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuching dari Kuala Lumpur dan beliau terpaksa pulang pada penerbangan seterusnya yang ada.

Pada 4 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi enggan memberikan kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman. Ambiga juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan