Mahkamah Tolak Rayuan Penduduk Berhubung TOL Lynas

Diterbitkan: Selasa, 11 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Sepuluh penduduk Gebeng dan Kuantan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin bagi mendapatkan kebenaran untuk mencabar keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) memberikan lesen operasi sementara (TOL) kepada Lynas Malaysia Bhd di Gebeng, Pahang.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali, mempengerusi panel tiga anggota, memutuskan penduduk berkenaan perlu terlebih dahulu merayu kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung pemberian TOL kepada kilang Lynas sebelum membawanya ke mahkamah untuk memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar pemberian TOL.

Beliau berkata, tiada peraturan tetap berhubung bila penduduk berkenaan perlu berbuat sedemikian (merayu kepada menteri).

Katanya, Mahkamah Rayuan tidak terpengaruh dengan keadaan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rohana Yusof telah terkhilaf semasa memutuskan menolak permohonan kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar pemberian TOL yang dikemukakan oleh penduduk berkenaan.

"Selepas membaca Seksyen 32 Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984, Mahkamah Rayuan berhak untuk menentukan bahawa perayu-perayu (penduduk) perlu terlebih dahulu merayu (kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)," kata Ramly semasa menolak rayuan penduduk atas satu-satunya alasan iaitu mereka perlu terlebih dahulu mengemukakan rayuan kepada menteri berkenaan.

Beliau berkata, terdapat fakta tertentu yang perlu disahkan oleh pihak-pihak yang hanya boleh dilakukan oleh penduduk dengan mengemukakan rayuan kepada menteri.

"Ini bagi memastikan isu-isu dijelaskan dan boleh diselesaikan secara muktamad dalam semakan kehakiman dan bukannya berupa pertikaian fakta dan dakwaan," kata Ramly yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Anantham Kasinater.

Panel itu memerintahkan kedua-dua pihak menanggung kos perundangan masing-masing.

Penduduk terbabit merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada 12 April tahun ini menolak permohonan mereka untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan AELB memberikan TOL kepada Lynas pada 30 Januari tahun ini.

Hakim Rohana memutuskan permohonan penduduk berkenaan bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman masih terlalu awal kerana mereka masih belum menggunakan sepenuhnya hak mereka termasuk merayu kepada menteri sebelum mereka memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman.

Dalam permohonan kebenaran mereka, penduduk berkenaan menamakan AELB yang memantau pengeluaran, aplikasi dan penggunaan bahan tenaga atom dan radioaktif, Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan keputusan AELB mengeluarkan TOL kepada Lynas.

Mereka juga memohon perintah injunksi melarang AELB daripada mengeluarkan sebarang lesen sementara atau tetap kepada Lynas kecuali atau sehingga syarikat itu mengemukakan laporan penilaian lengkap mengenai kesan kilanh itu terhadap alam sekitar kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan sehingga laporan itu diluluskan.

Kesemua 10 penduduk itu diwakili peguam Tommy Thomas dan K. Shanmuga. AELB dan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar diwakil Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail manakala Lynas diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Sunil Abraham.

Thomas, dalam hujahannya di mahkamah sebelum itu berkata Hakim Rohana telah membuat keputusan peringkat lebih tinggi apabila tidak membenarkan permohonan kebenaran itu.

Abraham, dalam hujahnya pula berkata, permohonan penduduk berkenaan boleh bersifat akademik atas hakikat mereka masih belum menggunakan hak mereka untuk merayu kepada menteri.

Di luar mahkamah, Shanmuga memberitahu pemberita yang beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan