Penghantar Surat Mengaku Tidak Bersalah Beri Suapan Kepada Pegawai Polis

Diterbitkan: Khamis, 6 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Khamis terhadap pertuduhan memberi suapan kepada pegawai polis membabitkan RM10,000, Mac lepas.

A. Darren, 24, didakwa cuba memberi suapan kepada Insp Roslan Tambi yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki lain yang disyaki terlibat dalam kes dadah.

Darren didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Petronas NPE, Pantai Dalam, Jalan Bukit Angkasa, Taman Bukit Angkasa, pada pukul 12.30 pagi, 22 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dan 9 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Nor Lokman Samingan manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Fatihah Abdul Ghani. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan