Bersih 3.0: Bantahan Terhadap Permohonan Anwar Didengar 13 September

Diterbitkan: Isnin, 3 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 13 September depan untuk mendengar bantahan pendakwaan terhadap permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin merujuk satu persoalan perundangan ke Mahkamah Tinggi berhubung tiga pertuduhan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Hakim Mahmud Abdullah menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamad memberitahu mahkamah pihaknya hanya dimaklumkan pagi ini mengenai permohonan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar dan memerlukan masa untuk menelitinya.

"Walaupun pihak pendakwaan telah bersedia untuk kemukakan bantahan awal berhubung dua permohonan Anwar bagi membatalkan pertuduhan terhadapnya, tetapi perlu berhujah terlebih dahulu di Mahkamah Sesyen mengenai permohonan ini (isu perundangan)," kata Abdul Wahab.

Beliau berkata pembelaan juga perlu memberi penjelasan berhubung permohonan itu dan tindakan mereka memaklumkannya kepada pendakwaan pada saat-saat akhir kerana ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hujahan yang ingin dikemukakan.

Mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar bantahan awal pendakwaan berhubung permohonan Anwar bagi menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya.

Dalam permohonan itu, Anwar berkata Mahkamah Tinggi perlu memutuskan sama ada Seksyen 4(1)(c) dan 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ataupun tidak.

Anwar turut meminta semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguh sementara menunggu keputusan berhubung permohonan itu.

Terdahulu, Abdul Wahab memohon untuk menambah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dalam pertuduhan ketiga yang dihadapi Anwar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali dan Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin.

Mengikut pertuduhan itu, mereka didakwa bersama penyokong 'Gabungan Bersih dan Adil' lain yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dan menghasut Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim mengingkari perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April lepas, yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei. Mengikut Seksyen 147, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Anwar, Mohamed Azmin dan Badrul Hisham didakwa mengambil bahagian dalam protes jalanan yang telah mencetuskan huru-hara di ibu negara pada 28 April.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersubahat dengan Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan dengan menghasut mereka membuka sekatan besi di Jalan Raja pada hari yang sama, mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Karpal Singh memaklumkan peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tidak lagi menjadi peguam Anwar dan hanya mewakili Badrul Hisham.

Peguam Datuk CV Prabhakaran yang mewakili Mohamed Azmin pula memberitahu mahkamah beliau akan mengemukakan satu permohonan berasingan di Mahkamah Tinggi berhubung isu perundangan yang dibangkitkan Karpal Singh. -BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Kolumnis

iklan

Iklan