Peguam Shamsubahrin Tarik Diri - Berita Mahkamah | mStar

Peguam Shamsubahrin Tarik Diri

Diterbitkan: Khamis, 30 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peguam Zarina Ismail pada Khamis menarik diri daripada mewakili abangnya Datuk Shamsubahrin Ismail yang menghadapi lima pertuduhan menipu bekas pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail membabitkan RM1.755 juta.

Zarina, antara peguam yang mewakili ahli perniagaan itu, memaklumkan keputusannya itu ketika pengurusan kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh.

Terdahulu itu, Hakim Rozilah menasihatikan peguam itu supaya menarik diri selepas pihak pendakwaan yang diwakili Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa, memberitahu akan berlaku prejudis terhadap kes tersebut.

Pada 27 Julai lalu, pihak pendakwaan memohon Zarina supaya menarik diri daripada mewakili tertuduh atas alasan Zarina termasuk dalam senarai saksi kes itu, dan juga adik kepada tertuduh.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu pihaknya dan pihak pembelaan masing-masing bersetuju bahawa saksi pendakwaan iaitu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan seorang pegawai polis tangkapan iaitu Inspektor Chua Keh Tong dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Perdana, tidak perlu dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes itu.

"Kedua-kedua mereka tidak perlu dipanggil sebagai saksi dan hanya merekodkan percakapan mereka sahaja," katanya.

Peguam Afifuddin Mohd Hafifi dan Kamarul Hisham Kamaruddin yang turut mewakili tertuduh mengesahkannya.

Hakim Rozilah turut mengekalkan tarikh perbicaraan bermula 10 September ini seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Selain lima pertuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Shamsubahrin, 45, turut menghadapi 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.755 juta yang mana kedua-dua kes itu akan dibicarakan bersama. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan